Friday, October 3, 2008

MENEGAK BENANG BASAH !

HINDRAF KETERLALUAN

Penyokong hindraf keterlaluan
Di majlis 1 syawal hari lebaran
Rumah terbuka PM kecemaran
Salah tempat menguji kesabaran

Kita mungkin berbeda pendapat
Demi agama kita boleh merapat
Asakan hindraf tak pilih tempat
Perkauman mereka wajar sekat

Jikalau lima hindraf dibebaskan
Sebelum tempoh telah tetapkan
Jelas benar PM dalam ketakutan
Tindakan kurang ajar diakurkan

ISA wujud di dalam akta negara
Hanya yang terpilih sahaja kena
Asingkan mereka elak virus bala
Virus demikian ibarat bom jangka

Dahulu ada samy vellu menzahiri
Mohon lima hindraf dilepas pergi
Agar kerajaan tidak mereka benci
Perkauman begini jangan dilayani

Di saat pak lah tinggalkan pejabat
Bukan dirosakan peraturan terikat
Bahawa ISA masih perlu perkuat
Tunduk pada hindraf sah diperalat

Telus jarum teluslah juga kelindan
Pesanan orang tua berupa amaran
Keterlauan dicemari hari lebaran
Pertahankan ISA tanpa keraguan

serling
[03.10.08]
jumaat

p/s:
UM:03.10.08;jumaat:
” Hindraf keterlaluan”

Oleh NOR ZAINAH NORDIN
KUALA LUMPUR 2 Okt. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mengutuk keras dan menyifatkan perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Islam sebagai keterlaluan, biadap dan menghina kesucian 1 Syawal.

Sambil membayangkan tindakan pertubuhan haram itu didalangi individu tertentu dengan tujuan menghancurkan perpaduan negara, mereka meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan tekanan daripada kumpulan yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati kerajaan.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, perbuatan kumpulan berkenaan adalah menghina perayaan besar umat Islam, tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan tujuan mereka menimbulkan kekecohan dalam suasana Perdana Menteri dan rakyat jelata meraikan 1 Syawal, seolah-olah cuba memberi gambaran negatif bahawa mereka langsung tidak mendapat peluang bertemu Perdana Menteri pada hari lain.

Katanya, insiden itu dikhuatiri didalangi pihak-pihak tertentu dengan mempergunakan suasana perayaan dan kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengganggu serta memberi imej buruk kepada negara luar.

Beliau berkata, kejadian itu bukan menunjukkan perjuangan tulen tetapi mengambil kesempatan merosakkan imej negara selain memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak mengamalkan budaya tolak-ansur.

“GPMS meminta kerajaan supaya jangan melayan mereka kerana Hindraf bukan pertubuhan sah. Mereka patut dikenakan tindakan, tidak kisah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau undang-undang lain.

“Biar ia menjadi pengajaran. Tidak pernah berlaku insiden sebegini dalam sejarah 50 tahun kita merdeka. Ini perbuatan berani tidak bertempat dan dipengaruhi demonstrasi jalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.

Menurut saksi, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad hari raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

Sementara itu, The Star Online memetik kenyataan K. Shanti, isteri kepada Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bahawa isi kandungan kad raya yang diserahkan meminta Perdana Menteri membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.
“Mesej kami ialah kami mahukan hero-hero kami dibebaskan. Ini adalah rumah terbuka dan kami boleh datang, jika kami mahu. Semasa hari raya ini, kita sepatutnya bermaaf-maafan.

“Jadi, kami memaafkan dosa-dosa UMNO terhadap komuniti India. Kami hanya mahu tahanan Hindraf dibebaskan,” kata Shanti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kumpulan itu mengambil peluang suasana rumah terbuka untuk menonjolkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lain.

Katanya, perbuatan itu tidak kena pada masanya iaitu ketika sambutan Aidilfitri bagi meraikan kemenangan umat Islam menjalani ibadat puasa dan merapatkan hubungan sesama rakyat.

“Mereka tidak menghormati orang Islam yang merayakan Aidilfitri,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, perbuatan penyokong Hindraf itu sepatutnya membuka mata rakyat tentang siapa sebenarnya kumpulan yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Kita selalu memikirkan orang lain dan tidak mengambil kira perasaan sendiri. Mereka sudah melampau dan tidak prihatin kepada suasana 1 Syawal yang menjadi perayaan besar umat Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Pribumi Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Hindraf adalah pertubuhan haram yang semakin mencabar undang-undang serta nampak bersedia menimbulkan kekecohan tanpa mengira tempat dan keadaan.

No comments: