Saturday, October 18, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH !

Bila marah tersalah arah !

Daripada Kota Kinabalu, Sabah
18 oktober tersangat bersejarah
Dua tokoh, pak lah marah-marah
Tun dan muhyiddin terhala arah

Tun ibaratkan pengarah pilihan
Muhyiddin engkari keputusan
Sebegitu pak lah buat dakwaan
Ketika UMNO sibuk perwakilan

Jika kata pak lah sifat individu
Telah dijangka luahan sebegitu
Bagaikan ‘talian hayat’ diperlu
Balasan pak lah sokongan dulu

Lupa pak lah ketika naik kuasa
Khairy ‘diterjunkan’ naib ketua
Kerna menantu, terkelu pemuda
Naik khairy semacam mi segera

Hebat pak lah cakap demokrasi
Bapa Demokrasi, Gerakan beri
Prihal UMNO lain maksud erti
Bukan bumi celupar, dia tersepi

Terharu prihatin MRR Melayu
Mesyuarat ke 215, K.Trengganu
Kenyataan khas, kita diberitahu
Bimbang dan harap MRR pandu

Kenapa pak lah bezakan layanan
Celupar mereka dibiar bersebaran
Tegurkata sekulit ditapis curigaan
Selaku ketua, tak wajar perbezaan

Nampaknya pak lah tidak berubah
Kata-kata ‘tidak perlu’ usah diluah
Status mantan PM pasti dianugerah
Pak lah punya masa bermuhasabah

serling
[19.08.08]
ahad
……
p/s:
MM:19.08.08: ahad:
”PM bidas Mahathir”


PM bidas Mahathir
KOTA KINABALU 18 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan (pemilihan) parti yang menentukan “siapa yang perlu berada dalam parti UMNO dan siapa yang perlu dikeluarkan”.

Perdana Menteri berkata, UMNO tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

“Siapakah Tun yang dah keluar parti UMNO itu nak cuba membuat arahan kepada orang UMNO apa yang patut dilakukan?

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” katanya pada persidangan akhbar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam ini.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan UMNO “mengusir orang-orang Abdullah” dalam pemilihan parti itu Mac depan.

“Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk UMNO dan kerajaan.

“Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli UMNO, mengajar ahli UMNO bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

“Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

“Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam UMNO,” kata Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
“Inikah “reform” yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli UMNO ada kebebasan untuk bertanding.

“Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya,” katanya.

Dalam hal ini, anggota UMNO tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.
“Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

“Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.

“Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd. Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Abdullah berkata, beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

“Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.
“Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.

“Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah.
Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.

“The point is that there is an agreement. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi?
Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,” katanya.
– Bernama

No comments: