Friday, May 7, 2010

KELOMPOK ATAU KOMPLOT ?

HINDARI UMNO DIKEBUMI ?

Lapor Bernama dari Pekan
7 Mei 2010 tarikh ingatan
Berkelompok merasmikan
Tiada cawangan tinggalkan

Berita PahangFM pagi ini
Ucapan najib ikut diulangi
UMNO samalah disayangi
Kelompok & komplot jauhi

Pesan najib buat ahli parti
Ambil contoh luar negeri
Hal LDP Jepun mengalami
Tewas pilihanraya terkini

Sumber sahih ngapa jadi
Itulah kesan tidak sehati
Seperti parti dalam parti
Kata pucuk tidak dengari

Utama kelompok sendiri
Cetus komplot tak peduli
Halacara parti tolak tepi
Hajat kelompok kemudi

Pucuk lemah amat takuti
Bila tegur melenting jadi
Keputusan dibuat sendiri
Lebih mudaratkan parti

PRU12 hilang lima negeri
Pasukan bola buat analogi
Pasukan BN terlebih cayai
Konon PRU11 kuat sekali

Silap pak lah usah lindungi
Lompatan menantu sakiti
Buruk imej menantu aksi
Hingga kini masih hantui

Komplot penaik KJ awasi
Dulu UMNO pernah alami
Ketika anwar terlaju naiki
Hampir TunM dikuis tepi

Rasanya tak mudah lupai
Terpaksa laluan najib beri
Pada anwar gelojoh naiki
Ghafar dimangsai terbukti

Kelompok tak lahir sendiri
Punya orang yang kepalai
Bila kepala utamakan diri
Lahir komplot punah parti

Ezam jadi senator maklumi
Salahkah KJ sedemikian jadi
PRU13 usah beliau tandingi
Sebagai senator,KJ berbakti

Firasat politik buat tangani
Jikalau KJ kekal status kini
Masuk serta PRU13 nanti
Situasi PRU 12 bakal ulangi

Sayangkan anak tangankan
Pesanan orang tua akurkan
Akui KJ liabiliti ditinggalkan
Di Dewan Negara letakkan

serling
[08.05.2010]
sabtu
……

p/s:
BERNAMA:07 Mei, 2010 20:20 PM


Najib Ingatkan Ahli Umno Supaya Tidak Berkelompok Dan Berkomplot
PEKAN, 7 Mei (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak mengamalkan sikap berkelompok dan berkomplot di kalangan mereka kerana kedua-dua elemen negatif itu boleh merebahkan parti.

Perdana Menteri berkata kedua-dua sikap berkenaan harus dijauhi dan dielakkan sebaliknya semua ahli bekerja dalam satu pasukan dan merancang apa saja pelaksanaan yang boleh memberi kebaikan kepada parti dan kepentingan untuk rakyat, bukannya menjatuhkan sesama ahli.

"Formula kita adalah bekerja sebagai satu pasukan jadi tidak ada kelompok dan komplot, bererti kita merancang bukan untuk kalahkan musuh tetapi kalahkan kawan dan itu penyakit yang boleh rebahkan parti," katanya ketika berucap di majlis perasmian berkelompok persidangan Umno cawangan-cawangan 2010 di sini Jumaat.

Mengambil contoh kejatuhan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun, Najib yang juga Presiden Umno berkata kejatuhan parti itu disebabkan oleh sikap suka berkomplot yang diamalkan di kalangan ahli-ahli parti itu walaupun parti itu seusia parti Umno.

"LDP di Jepun, baru-baru ini kita dengar pengalaman pemimpin LDP yang ceritakan bahawa parti itu yang seusia Umno rebah di dalam pilihan raya terbaru dan salah satu faktornya adalah terdapat banyak kelompok dan komplot dalam parti sehingga mereka lupa matlamat parti untuk bela rakyat jelata kerana sibuk untuk kalahkan sesama kawan," kata beliau.

Najib berkata sekiranya satu hari nanti parti keramat orang Melayu itu rebah, perkara itu bukanlah disebabkan oleh orang atau pihak lain yang mengalahkan parti itu tetapi salah ahli-ahli parti itu sendiri yang sibuk menjatuhkan sesama sendiri.

Beliau berkata apa yang sebaiknya dilakukan oleh semua ahli parti adalah sentiasa membuat perancangan yang rapi dan jitu untuk menang dalam apa jua keadaan kerana sebarang kejayaan tidak akan datang dengan sendiri.

Menurut Najib, perancangan yang baik dan rapi adalah perancangan yang dilakukan sebaik saja sesebuah pilihan raya itu berakhir, bukannya sewaktu tarikh pilihan raya itu menghampiri di mana ketika itulah kelam-kabut mahu meletakkan siapa sebagai calon dan sebagainya.

Najib berkata kekalahan parti itu di lima negeri ketika pilihan raya umum 2008 hendaklah dijadikan iktibar bahawa Umno tidak memiliki kekebalan politik dan mungkin perkara itu akan berulang lagi sekiranya ada ahli yang terus mengamalkan sikap suka berkelompok dan berkomplot ini.

"Sekiranya kita tidak ubah cara dan perangai kita di semua peringkat, kita akan rebah jadi tunjukkan teladan yang baik kerana percayalah yang penting bukan diri kita atau kelompok atau komplot kita, yang penting Umno sebagai parti yang memperjuangkan kepentingan rakyat," katanya.

Selain itu katanya ahli-ahli parti juga harus menunjukkan teladan yang baik bagi mengelakkan Umno dilihat sebagai parti yang hanya mementingkan politik dalaman, bukannya memberi yang terbaik untuk rakyat.

Sementara itu, Najib berkata kepercayaan orang Melayu terhadap kerajaan semakin meningkat seperti mana yang dapat dilihat sejak pilihan raya umum lalu dan terbaru adalah siri pilihan raya kecil di dua kawasan di dua negeri yang dikuasai pembangkang iaitu Bagan Pinang dan Ulu Selangor.

Katanya beliau melihat perkara itu sebagai aliran atau trend yang membanggakan walaupun ia belum lagi boleh dianggap sesuatu yang sudah sampai garis penamat kerana tidak mahu sejarah kekalahan di dalam pilihan raya berulang.

"Juga kawasan seperti Ijok di Kuala Selangor dan Pengkalan Pasir di Pasir Mas di mana kita berjaya ketika pilihan raya kecil tetapi kalah bila pilihan raya umum.

"Sebagai parti politik, kita mesti ambil iktibar dari peristiwa yang tak baik dijadi contoh untuk kita mengorak langkah supaya dapat ditingkatkan lagi pencapaian," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: