Friday, September 5, 2008

MENJELANG UPSR / SPM / STPM 2008

WUJUD SKIM GAJI KHAS ?

Suara NUTP tersangat berbisa
Hashim presidennya bersuara
Wujud skim gaji khas diminta
Payung majoriti guru Negara

Ahli-ahli NUTP senang hati
Suara presiden mereka berani
Kepada kerajaan hajat sindiri
Tuah demokrasi kita mewangi

Jika sekarang kita ke sekolah
Kumpulan guru amat bertuah
Alat bantu mengajar dimudah
Computer riba freeguna serlah

Prihatin kerajaan kepada guru
Jika ingin tingkat kerjaya dialu
Diploma ke ijazah, usaha dulu
Nasib lepasan diploma terbantu

Beri betis mahu peha ternampak
Dapat sarjana dan PhD melalak
Ngapakah gaji masih tak gerak
Dema jadi amat pandai berlagak

Kepada para guru yang dedikasi
Peningkatan ilmu sangat bererti
Tugasan gurunya lebih motivasi
Berbeza para guru utamakan gaji

Jika terbuku hati masih membara
Jawatan guru lepaskanlah segera
Kerjaya lain dan swasta sila teroka
Guru tak ikhlas, murid jadi terlara

serling
[06.09.08]
sabtu
….


p/s:
UM:06.09.08:sabtu
“NUTP: Wujud skim gaji khas”
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

KUALA LUMPUR 5 Sept. - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berharap kerajaan segera mempertimbangkan mewujudkan skim gaji bersepadu khas untuk guru-guru di seluruh negara.
Presidennya, Hashim Adnan berkata, skim perkhidmatan sedia ada didapati terlalu kompleks sehingga menimbulkan suasana kurang harmoni di kalangan guru.
"Antara masalahnya ialah terdapat pelbagai kumpulan guru terutama guru siswazah dan bukan siswazah dengan tangga gaji berlainan tetapi beban tugas yang sama," katanya pada sidang akhbar mengenai isu-isu semasa NUTP di sini hari ini.
Hashim yang baru dilantik sebagai presiden kesatuan itu bulan lalu berkata, selepas mengadakan Persidangan Perwakilan Tritahunan NUTP Ke-18 baru-baru ini, kesatuan itu melihat guru-guru bukan siswazah yang berjaya mendapatkan ijazah perlu diberi insentif.
Katanya, ia termasuk mereka yang berjaya mendapat sarjana atau ijazah doktor falsafah (PhD).
"Sekarang guru yang mempunyai kelulusan itu tidak diiktiraf kerana dianggap tidak relevan dengan pengajaran di sekolah. Alasan itu tidak boleh diterima," jelasnya.
Katanya, NUTP juga meminta Kementerian Pelajaran mewujudkan beberapa jawatan baru bagi membantu guru-guru melaksanakan tugas di luar pengajaran seperti sebagai pembantu guru, ketua guru disiplin serta guru khas aktiviti kokurikulum.
Beliau berkata, ini bagi membolehkan para guru menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajaran di dalam kelas.
Tambah Hashim, khidmat guru yang sudah bersara juga masih diperlukan terutama bagi mereka yang pakar dalam subjek kritikal iaitu Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Bahasa Malaysia.
"Kita mendapati masih ada keperluan untuk guru-guru yang sudah bersara ini menyumbangkan khidmat mereka. Kita tidak tahu kenapa khidmat kontrak bagi guru bersara ini ditamatkan sejak dua tahun lalu," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Pheng berkata, semua cadangan itu akan dibincangkan NTUP secara menyeluruh pada bengkel yang dijadual diadakan dalam masa terdekat.
Katanya, memorandum mengenainya akan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran selewat-lewatnya awal tahun depan untuk tindakan lanjut.

No comments: