Sunday, June 29, 2008

BEBAS TANPA BICARA ?

Syabas buat pengadu berani
Maruah tidak boleh jual beli
Kepada si anwar tabur bakti
Bantu PKR meraih pengundi

Sebaik selepas aduan dibuat
Penyokong PKR rasa digugat
Si anwar dinafikan buat liwat
Belumpun polis selesai siasat

Ugutan bunuh konon dakwaan
Didakwa seminggu sedemikian
Adakah pada polis buat laporan
Dakwaan isteri ada kesangsian

Masih ingatkah lagi cerita reka
Ketika si anwar banduan penjara
Cat baru bilik dikata merbahaya
Si anwar diracun cara bunuh dia

Buat alasan ancam nyawa hadapi
Berlindung dia di kedutaan Turki
Digambarkan polis kita konspirasi
Helah bela diri, dia memanIpulasi

Bersaksikan ke lutut umpamakan
Lagak isteri dan PKR pertahankan
Bagai Rukunnegara dipelekehkan
Kini si pengadu pula persalahkan

Kerja siasatan polis usah diganggu
Demi keadilan anwar dan pengadu
Kerjasama semua pihak amat perlu
Dolak-dalih si anwar buatkan ragu

serling
[30.06.08]
isnin
…..

p/s:
UM;30.06.08:isnin.
“Beri ruang polis siasat - Kes liwat: Usah buat andaian, jangan bagi tekanan – Mohd. Bakri”
Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

KUALA LUMPUR 29 Jun – Semua pihak diminta memberi ruang kepada polis menyiasat secara terperinci dan menyeluruh kes dakwaan liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa sama, polis mengharapkan tiada sebarang andaian dibuat berhubung kes itu sebaliknya menunggu hasil siasatan polis terhadap pengadu dan juga suspek yang berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd. Bakri Zinin pada sidang akhbar di sini hari ini menegaskan, pihaknya tidak memerlukan tekanan mana-mana pihak agar siasatan dijalankan dengan adil dan profesional.

Jelasnya, sebagai agensi penguat kuasa undang-undang yang profesional, pihak polis akan memastikan kedua-dua pihak iaitu pengadu selaku mangsa dan juga suspek mendapat keadilan.

“Kita menjalankan penyiasatan terhadap mangsa dan juga suspek mengikut Kanun Keseksaan tetapi kita perlukan sedikit masa untuk siasatan dan tidak akan mendedahkan maklumat lanjut,” katanya.

Semalam, seorang lelaki berusia 23 tahun membuat laporan di Pondok Polis Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 5.45 petang mendakwa dia telah diliwat oleh majikannya yang juga seorang pemimpin politik di sebuah kondominium di Damansara pada 26 Jun lalu.

Kes itu kemudian dirujuk ke Balai Polis Travers.

Ekoran laporannya itu, lelaki berkenaan akan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketika dihubungi malam ini, Mohd. Bakri enggan mengulas sama ada pengadu telah menjalani ujian DNA atau sebaliknya.

Mengenai dakwaan Anwar bahawa kes itu satu percubaan menyekat kebangkitan karier politiknya, beliau berkata: “Kita (polis) tidak sebut pun siapa suspek dalam kes ini tetapi kalau dia sendiri (Anwar) fikir dia suspek, dia sepatutnya buat laporan polis tentang perkara itu.

“Buat masa ini, perkara tersebut (kaitan dengan unsur politik) hanyalah satu andaian. Pihak polis pastinya akan menjalankan siasatan dari segala sudut.”

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Ismail Omar ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini memberitahu, setakat ini polis belum bercadang melakukan tangkapan terhadap suspek dalam kes itu sehingga siasatan berhubung dakwaan kes liwat itu selesai.

Sehubungan itu, beliau menafikan khabar angin bahawa Penasihat PKR itu telah ditahan oleh polis awal pagi ini.

“Setakat ini, polis belum tahan Anwar. Saya tidak dapat mengulas lanjut kerana siasatan berhubung kes itu baru bermula,” katanya.

Sementara itu, mulai kira-kira pukul 4 petang ini, lebih 50 penyokong PKR berhimpun di luar pejabat Kedutaan Turki di Jalan U-Tant di sini selepas tersebar berita mengatakan Anwar mendapat perlindungan daripada kedutaan berkenaan.

Polis terpaksa mengerahkan sekumpulan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke lokasi berkenaan untuk mengawal keadaan. Pejabat kedutaan itu ditutup hari ini kerana cuti umum.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Amir Mohd. Hashim memberitahu, keadaan bagaimanapun terkawal dan penyokong PKR terbabit bersurai kira-kira pukul 6 petang.

Bagaimanapun, sehingga pukul 10 malam ini, beberapa wartawan serta jurugambar dari media tempatan dan asing masih menunggu di luar pejabat Kedutaan Turki untuk mendapatkan perkembangan terbaru.

Anwar yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada jawatan Kabinet pada September 1998 kerana dakwaan salah laku seksual dan rasuah.

Anwar menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan kesalahan kerana rasuah. Beliau dibebaskan daripada penjara pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan menolak sabitan tersebut.

1 comment:

Unknown said...

hiiiiiiiiiiiiiiiii

you are fantastic!!!

a kiss for you, my dear friend!

god bless u dear

can we exchange our link

r u ready to do?