Thursday, October 30, 2008

DELKARASI JANDA BAIK MENGUJA !

SEHINGGA BILA TERLEKA ?

Tika layari Peribumi Perkasa
Deklarsi Janda Baik menguja
Saranannya kongsikan sama
Muhasabah diri jangan terleka

Sedari wahai kaum bangsaku
Buruk atau baik nasib berlaku
Janji ALLAH janganlah diragu
Kerjabuat kita menjadi penentu

Dalam kukuh menjaga bangsa
Pemimpin kita bertimbang rasa
Hal kaum lain tetap terpelihara
Kini keceluparan mulut mereka

Hilang arah segelintir bangsaku
Ahli bukan UMNO sudah tentu
Malah ada ahli UMNO terkeliru
Oleh si gelojoh inginkan berkuku

Rakan setia sopan perangainya
Tetapi rakan UMNO tabur tuba
Rakan begini perlu dikawalselia
Deklarasi Janda Baik kena baca

serling
[30.10.08]
khamis
……

p/s:
-menyambut seruan untuk memanjangkan “DEKLARASI JANDA BAIK” seperti tersiar dalam
http://Peribumi Perkasa.org



DEKLARASI JANDA BAIK

Memandangkan keadaan politik negara yang gawat, cabaran dan gugatan terhadap kepimpinan Melayu yang lemah oleh pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara serta keadaan ekonomi dunia yang kucar kacir dewasa ini, maka KAMI, para penulis, wartawan dan blogger yang prihatin terhadap nasib Bangsa, Agama dan Tanah Air, yang bersidang di Janda Baik, Pahang mengambil sikap dan pendirian seperti berikut:-

1. KAMI mendesak dan menuntut agar para pemimpin Melayu dari berbagai fahaman politik mengembelengkan tenaga, kerjasama dan buah fikiran demi mempertahankan keluhuran dan kekeramatan PERLEMBAGAAN MALAYSIA TANPA KOMPROMI.
2. KAMI memberi amaran kepada para pemimpin politik Melayu dari semua fahaman ideologi agar jangan menjadi pemimpin Pak Pandir yang hanya menang sorak tetapi kampung halaman dan negara terjual kepada pihak asing.
3. KAMI juga memberi amaran keras kepada pihak-pihak tertentu yang memainkan sentimen perkauman dan mempertikaikan HAK ISTIMEWA MELAYU sepertimana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN NEGARA agar jangan mencetuskan permusuhan antara kaum, antara agama dan antara budaya oleh kerana mereka menganggap kepimpinan Melayu lemah dan boleh diperdagangkan untuk memenuhi agenda perkauman mereka.
4. KAMI juga memberi amaran keras kepada para pemimpin Melayu, khasnya UMNO, agar mereka jangan menjadi pengkhianat BANGSA, AGAMA DAN TANAH AIR hanya kerana didorong oleh nafsu kekayaan kebendaan, kuasa yang dipinjamkan Allah, hingga melupai tanggungjawab mereka terhadap generasi Melayu akan datang.
5. KAMI menggesa seluruh umat Melayu yang menjadi para pejuang BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR tanpa mengira aliran politik agar memilih barisan pemimpin mereka yang terbaik dan bersih dari korupsi, berbagai skandal yang memalukan, yang berwibawa, berilmu dan berjiwa dinamik untuk menerajui kerajaan dan badan-badan amanah lainnya.
6. KAMI memberi peringatan dan teguran ikhlas bahawa UMNO mesti melakukan revolusi mental dan perombakan pemikiran yang dekaden, konservatif, materialistik yang melampau, anti ilmu, berpuak-puak, mementingkan diri, kaum keluarga dan para kroni hingga sanggup memperjudikan nasib BANGSA, AGAMA DAN TANAHAIR.
7. KAMI memberi amaran keras dan peringatan yang tulus ikhlas bahawa kepimpinan UMNO yang lemah, korup, rakus dan gila kuasa boleh menggerhanakan masa depan generasi muda Melayu dan rakyat yang telah memberikan sokongan mereka sejak 51 tahun UMNO memimpin kerajaan Malaysia.
8. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa agar jangan terlalu banyak berkompromi dengan golongan-golongan tertentu yang mempunyai agenda tertentu untuk melemahkan kepimpinan Melayu.
9. KAMI juga ingin mengingatkan para pemimpin Melayu yang berkuasa bahawa kelemahan kekuasaan politik Melayu akan membawa kehancuran dan penghapusan kuasa orang Melayu di bumi Malaysia yang bertuah ini.
10. KAMI menyeru dan menggesa rakyat Melayu bertindak proaktif dalam berbagai bidang kehidupan untuk menjamin kekuasaan politik Melayu tidak terhakis dan ketuanan Melayu dan Islam kekal subur selagi ada matahari dan bulan
11. KAMI merafak sembah memohon agar Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu mempertahankan kedaulatan baginda seperti mana yang termaktub dalam PERLEMBAGAAN MALAYSIA dengan memberi sokongan moral kepada perjuangan umat Melayu dan Islam dalam berbagai lapangan hidup. Perlulah dihayati kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu akan berterusan sekiranya rakyat Melayu dan umat Islam memperjuang dan mempertahankan institusi Raja tersebut.
12. KAMI dengan penuh takzimnya memohon Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan kaum kerabat baginda agar jangan mengkhianati dan melakukan sesuatu tindakan yang boleh menjejaskan institusi Raja dan melukai perasaan umat Melayu yang mempertahankan institusi Raja selama ini.
13. KAMI juga menyeru kepada kerajaan agar melaksanakan KEADILAN dan TANGGUNGJAWAB sebagai pemerintah kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum memandangkan Malaysia negara majmuk.
14. KAMI ingin memberi peringatan kepada bukan Melayu agar berpegang teguh pada kontrak sosial dan PERLEMBAGAAN NEGARA demi menjaga keharmonian hubungan antara kaum serta kesejahteraan dan keamanan yang kita sama-sama mempertahankannya.
15. KAMI yakin dan percaya bahawa Kebebasan suara Rakyat dan amalan Demokrasi mestilah dipertahankan oleh kerana rakyat yang memberi mandat dan amanah kepada parti-parti politik tertentu untuk berkuasa. Oleh hal demikian KAMI akan bekerjasama dengan siapa saja, dan dari golongan mana sekali pun, demi memperjuangkan hak dan kebebasan Rakyat serta amalan Demokrasi di bumi Malaysia yang bertuah ini.

Inilah deklarasi yang tulus ikhlas yang KAMI abadikan sebagai cetusan rasa dari buah fikiran KAMI demi memperjuangkan hak dan kepentingan Rakyat, Keamanan dan Kesejahteraan Negara Malaysia.

KAMI rakamkan cetusan hati nurani Rakyat yang bernama DEKLARASI JANDA BAIK, bertempat di kediaman Sdr Syed Hussein Al-Attas, bertarikh 26 Oktober 2008.


Thursday, October 23, 2008

SINDIRAN BUKA MINDA !

Usah pertikai status quo BN !

Belacan sumber dari lautan
Kangkong jenis tumbuhan
Betul adunan, sedap makan
Jika lapar jadi kekenyangan

Terima kasih Adam kongsi
Belacan & kangkong serasi
Nisbah adunan pilih sendiri
Tidak sama banyak terpasti

Hikmah soi lek kata begitu
Ingatkan hang tuah dahulu
Kangkong muslihat melayu
Raja china terpaksa ngaku

Di dalam amalan demokrasi
Suara sindiran tidak penalti
Minda bijaksana bukan mati
Status quo BN wajib hayati

TPM cina, dulu kedengaran
Kini MCA nak bukan-bukan
Satu Timbalan BN suarakan
Ingin lebih kuasa maksudkan

serling
[23.10.08]
khamis
.........

p/s:
Gerbang Tempur Politik Maya Dot Net:23.10.08:khamis:
RENCANA oleh Adam “BELACAN & KANGKONG JADI BUALAN POLITIK MCA”

Saturday, October 18, 2008

HARI INI DALAM SEJARAH !

Bila marah tersalah arah !

Daripada Kota Kinabalu, Sabah
18 oktober tersangat bersejarah
Dua tokoh, pak lah marah-marah
Tun dan muhyiddin terhala arah

Tun ibaratkan pengarah pilihan
Muhyiddin engkari keputusan
Sebegitu pak lah buat dakwaan
Ketika UMNO sibuk perwakilan

Jika kata pak lah sifat individu
Telah dijangka luahan sebegitu
Bagaikan ‘talian hayat’ diperlu
Balasan pak lah sokongan dulu

Lupa pak lah ketika naik kuasa
Khairy ‘diterjunkan’ naib ketua
Kerna menantu, terkelu pemuda
Naik khairy semacam mi segera

Hebat pak lah cakap demokrasi
Bapa Demokrasi, Gerakan beri
Prihal UMNO lain maksud erti
Bukan bumi celupar, dia tersepi

Terharu prihatin MRR Melayu
Mesyuarat ke 215, K.Trengganu
Kenyataan khas, kita diberitahu
Bimbang dan harap MRR pandu

Kenapa pak lah bezakan layanan
Celupar mereka dibiar bersebaran
Tegurkata sekulit ditapis curigaan
Selaku ketua, tak wajar perbezaan

Nampaknya pak lah tidak berubah
Kata-kata ‘tidak perlu’ usah diluah
Status mantan PM pasti dianugerah
Pak lah punya masa bermuhasabah

serling
[19.08.08]
ahad
……
p/s:
MM:19.08.08: ahad:
”PM bidas Mahathir”


PM bidas Mahathir
KOTA KINABALU 18 Okt. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini membidas bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahahir Mohamad yang menurutnya berlagak seolah-olah pengarah pilihan (pemilihan) parti yang menentukan “siapa yang perlu berada dalam parti UMNO dan siapa yang perlu dikeluarkan”.

Perdana Menteri berkata, UMNO tidak pernah memerlukan arahan daripada pemimpin yang tidak berada dalam parti itu.

“Siapakah Tun yang dah keluar parti UMNO itu nak cuba membuat arahan kepada orang UMNO apa yang patut dilakukan?

“Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu... orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?,” katanya pada persidangan akhbar di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam ini.

Abdullah mengulas kenyataan Mahathir yang mahu perwakilan UMNO “mengusir orang-orang Abdullah” dalam pemilihan parti itu Mac depan.

“Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. Apakah salah sangat orang-orang yang bekerja dengan saya. Apakah kalau mereka itu tidak bercakap atau tidak riuh-rendah maka itu mesti dianggap sebagai orang yang tidak baik...orang yang tidak pernah membuat baik untuk UMNO dan kerajaan.

“Siapa dia yang membuat penentuan seperti itu. Ini akan menimbulkan kebencian sesama ahli UMNO, mengajar ahli UMNO bergaduh sesama sendiri,” katanya.

Abdullah berkata, beliau mengambil keputusan untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO bagi mengelakkan perbalahan sesama anggota parti.

“Oleh sebab adanya pertandingan sebagaimana yang biasa berlaku terutama di peringkat atasan berpecah belah. Kita patut belajar daripada apa berlaku dulu.

“Cakap macam ini akan menimbulkan kemarahan kepada mereka yang dianggap tidak boleh terima, mesti diketepikan. Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam UMNO,” kata Abdullah.

Menurut Perdana Menteri, gesaan Mahathir itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
“Inikah “reform” yang diharapkan...Kita ada kebebasan, tiap-tiap ahli UMNO ada kebebasan untuk bertanding.

“Saya dengar kata Ali Rustam (Ketua Menteri Melaka) yang nak bertanding timbalan presiden dicuba orang tertentu memaksa dia untuk tarik balik...Mengapa suruh Ali tarik balik? Apa tak eloknya Ali?.

“Tak boleh diberi saja kebebasan untuk bertanding... tentu ada orang yang mahu sokong mahupun yang tak sokong. Jadi biarlah dia bertanding dan biarlah orang UMNO menentukannya,” katanya.

Dalam hal ini, anggota UMNO tidak perlu orang daripada luar untuk memberi arahan.
“Adalah lebih baik Tun tak cakap langsung pada hari ini,” katanya.

Sementara itu, Abdullah juga kecewa apabila Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, tidak mengendahkan keputusan peralihan kuasa yang dipersetujui antara beliau dan Najib pada Mac tahun depan.

“Sebenarnya dialah (Muhyiddin) yang menimbulkan isu mempercepatkan peralihan kuasa dilakukan dengan membuat kenyataan-kenyataan di luar, di Singapura.

“Semua orang dah bersetuju. Mereka sendiri tak kata tak bersetuju. Datuk Seri Mohd. Najib dengan saya dah ada persetujuan yang direstui dan dipersetujui oleh ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Abdullah berkata, beliau telah menerangkan sebab beliau memerlukan masa yang dipersetujui antara beliau dan Najib, antaranya, terdapat perkara berkaitan dengan reform yang beliau hendak laksanakan dan dibawa ke persidangan Dewan Rakyat.

“Apakah dia takut reform? Apakah dia tidak mahu reform? Apakah ini sebagai satu langkah untuk menggagalkan usaha-usaha sedangkan reform itu dikehendaki oleh rakyat.
“Saya dimarah oleh rakyat kerana tidak memenuhi janji. Sebab itu ada dalam manifesto 2004 apabila saya bertanding, apabila kita memenangi pilihan raya pada 2004 dengan sokongan yang kuat.

“Mengapa pula dia mencadangkan seperti itu? Ertinya nak menggagalkanlah.
Nak menggagalkan saya atau menghalang saya mengambil tindakan-tindakan yang saya telah usahakan.

“The point is that there is an agreement. Dah setuju. Mengapa mengungkit lagi?
Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itupun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,” katanya.
– Bernama

Tuesday, October 14, 2008

BILA CELUPAR KATA !

NGAPA MELAYU DISENDA ?

Tika UMNO leka pencalonan
GERAKAN membuat kejutan
Seolah melayu dikata imigran
Celupar mulut suara demikian

Tugas rasmi timbalan menteri
Buatkan rakyat sukar mengerti
Begitukah pendirian rasmi kini
Sapa pakar sejarah mendalangi

Benar lidah kita tidak bertulang
Tapi bukan lesen kata sebarang
Apa motif tan lian hoe sekarang
Bahaya jikalau di hati bersarang

Pada ahli UMNO seluruh negara
Dalam masa BN pulihkan tenaga
Salah nada komponen kena peka
Mendiam diri tanda benarlah kata

GERAKAN angkat pak lah tinggi
Dinobatkan jadi Bapa Demokrasi
Bukan alasan berkata sesuka hati
Dijeratkah mulut pak lah terkunci

Jika anugerah punya kemuslihatan
Wajar tarik balik anugerah gelaran
Komen pak lah tak lagi kedengaran
Tunggu kecuhkah, pak lah kedepan

serling
[15.10.08]
rabu
…..
p/s:
UM:14.10.08:SELASA[m.s:7]
“Lian Hoe terus dibidas”
“Gerakan perlu kenakan tindakan”
“Khir desak parti ambil tindakan”
“Tidak patut bangkit isu perkauman”

Thursday, October 9, 2008

UTAMAKAN PENGISIAN BUKAN RETORIK !

BUAT PILIHAN TEPAT !

Kata khairy, minta pilihan tepat
Jika utama retorik, tiada tempat
Terpanggil dia sumbang keringat
Nada khairy uarkan diri memikat

Tag line ‘setiakawan’, dipromosi
Dakwa dapat sokongan akarumbi
Hampir seluruh negara dijelajahi
Dulu ‘payung terjun’, dia perakui

Dalam temuramah dengan utusan
Sedikit disoalkan, retorik huraian
Syabas zulkiflee susun pertanyaan
Tidak jua dihurai gelojoh terjunan

Diikrar ingin bawa pembaharuan
Juga dijanji keutamaan pengisian
Bagai anwar mentornya lakonan
Nasib pak lah, khairy berperanan

Lembutnya suara khairy berjanji
Akan terus dengar kata akar umbi
Perjuangannya tak boleh jual beli
Berlawanan apa telah dia warnai

Dalam zaman teknologi maklumat
Walaupun khairy cuba tutup rapat
Luarbiasa menantu-mertua terikat
Alasan utama khairy perlu disekat

serling
[10.10.08]
jumaat
…..

p/s:
-UM;08.10.08:khamis: ”Utamakan pengisian bukan retorik”

-wajaran sepatutnya khairy ikut langkah pak lah utamakan parti atasi peribadi, bukan diumpama “habis manis, sepah dibuang”

Monday, October 6, 2008

TANDING ATAS KEKUATAN SENDIRI ?

DENGAR BOLEH, USAH CAYA !

Tanding atas kekuatan sendiri
Begitu khairy uarkan promosi
Pemuda UMNO mahu dikuasai
Gelojoh khairy wajib halangi

Dalam akhbar selalu dendangi
Walaupun tidak status menteri
Berstatus menantu, dia pameri
Bagaikan akhbar, khairy miliki

Usah terpedaya individu begini
Duduk naib ketua pun ditolongi
Dia mendakwa kekuatan sendiri
Kelentongan Khairy sukar lupai

Slogan setiakawan dia mengulai
Emosi pemuda kini dimanipulasi
Konon dialah termuda tawar diri
Calon lain tidak bersesuaian lagi

Tatasusila kita dalam organisasi
Naik berjanjang, dia melanggari
Bukan exco, naib ketua dikuasai
Faktor mertua, calon lain tersepi

Cakap dan buat khairy perhalusi
Walau pun para penyokong nafi
Kalaulah bukan suami pada noni
Adakah khairy naib pemuda kini

Naib ketua pun khairy baru lagi
Kerusi ketua ingin amat duduki
Tiada mertua diatas, perit razeki
Ala mentornya anwar, dia jejaki

Usia UMNO lebih 60 tahun kini
Keikhlasan khairy wajib curigai
Cukuplah naib pemuda diduduki
Tepat masa khairy jangan diundi

serling
[07.10.08]
selasa
….
p/s:
UM:06.10.08:isnin: “Tanding atas kekuatan sendiri


“Kekuatan sendiri – Khairy”
REMBAU 5 Okt. – Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin berkata, beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda berdasarkan pada kekuatan dirinya sendiri dan bukan kerana pengaruh pihak lain.

Menurut Khairy, beliau berharap semua perwakilan yang akan bersidang mulai 9 Oktober ini dapat menilai dirinya kerana kredibiliti serta kekuatan beliau sejak menjadi Naib Ketua Pemuda empat tahun lalu.

Pada masa yang sama, beliau juga mengulangi pendiriannya untuk tetap bertanding Ketua Pemuda walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka mengumumkan proses peralihan kuasa kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak lebih awal dari tarikh asal.

“Insya-Allah... Buat masa ini saya akan meneruskan rancangan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO kerana dari awal lagi saya bertanding atas kekuatan diri sendiri dan sebarang keputusan yang akan dibuat oleh Presiden dan Timbalannya tidak akan mempengaruhi apa yang akan menjadi pilihan orang muda.

“Orang muda harus pilih orang muda untuk generasi Pemuda. Bukan sebab tertentu atau faktor pucuk pimpinan dan sebagainya. Mereka kena pilih kepimpinan untuk masa depan dalam parti,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka beliau di Balai Raya Kampung Gadong di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada sebarang keputusan Perdana Menteri mengenai peralihan kuasa akan menjejaskan peluangnya dalam merebut jawatan Ketua Pemuda yang telah dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Mengenai wujudnya regu dalam kepimpinan Pemuda UMNO, Khairy berkata, pemilihan kali ini tidak menampakkan kewujudan itu memandangkan semua calon yang menawarkan diri adalah berdasarkan pada kemahuan akar umbi dan lebih bebas.

Sunday, October 5, 2008

DEMOKRASI ERA BARU ?

PEMBERITA BERMOTIF ?

Jika buat urutan kronologi
Pendokong hindraf berani
Tuntutan mereka meninggi
Rukunnegara telah langgari

Kesopanan dan kesusilaan
Rukunegara lakar panduan
Hindraf tegar pamer gilaan
Tatasusila adab kecemaran

Lapor dalam berita minggu
Konon hindraf baiknya laku
Di muka 14 boleh kita temu
Bagai presiden PAS merestu

Ditulis magendran rajagopal
Juga hanneyzah gaya sekapal
Kedua mereka bermotif nakal
Hindraf digambar laku normal

Hindraf digambar baik sopan
Berlawan berita dalam utusan
Bacalah sepenuh isi penulisan
Hindraf dibela dan berpatutan

Serling
[05.10.08]
Ahad
….
p/s:
- Tulisan mengendran rajagopal dan hanneyzah bariah baharin seperti ‘membela’ hindraf
BM:05.10.08:ahad:
“Presiden Pas anggap demokrasi era baru”


'Demokrasi era baru'
KUALA TERENGGANU: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta semua pihak melihat tindakan penyokong Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) bertemu Perdana Menteri pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Rabu lalu, sebagai demokrasi era baru.

Beliau berkata, tindakan penyokong Hindraf bertemu dan menyerahkan memorandum kepada Abdullah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bukan sesuatu yang biadap dan perlu dipandang dari sudut positif.

"Mereka dibenarkan masuk, mereka masuklah... kalau tak dibenarkan, macam mana mereka hendak masuk. Saya rasa itu tidak biadap, itu demokrasi... biasa. Kalau kita tengok di negara Barat, mereka benarkan orang demonstrasi di depan Rumah Putih... itu biasa... Kita kena lihat ini sebagai satu perubahan zaman Perdana Menteri kitalah.

"Kalau betul mereka tak mahu bagi Hindraf masuk, mereka boleh halang. Tetapi apa yang berlaku tidak ada polis yang halang. Tak ada masalah mereka jumpa Perdana Menteri macam tu... saya pun ada orang datang ke rumah. Kita kena lihat ia sebagai perubahan demokrasi di Malaysia, lagipun mereka tidak buat kecoh atau bertumbuk," katanya selepas berucap pada majlis perasmian Ijtima' Aidilfitri anjuran Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Badan Perhubungan Pas negeri di sini, semalam.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mustaffa Ali.

Pelbagai pihak sebelum ini kesal dengan tindakan Hindraf yang membuat kecoh tidak kena pada tempatnya, iaitu ketika umat Islam menyambut Aidilfitri, terutama pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri Kabinet yang sepatutnya digunakan untuk merapatkan hubungan sesama kaum.

Dalam kejadian Rabu lalu, kira-kira 800 penyokong Hindraf berpakaian kemeja-T jingga beratur seawal jam 11 pagi bersama ribuan pengunjung lain untuk bersalam dengan Abdullah dan menyerahkan kad ucapan Aidilfitri yang turut diselitkan dengan mesej supaya Perdana Menteri membebaskan pemimpin Hindraf yang dikenakan tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Keadaan menjadi kecoh seketika apabila mereka dihalang memasuki dewan jamuan di aras empat PWTC dan mula melaungkan rasa tidak puas hati kerana menunggu terlalu lama untuk bertemu Perdana Menteri. Bagaimanapun, campur tangan polis berjaya mengawal keadaan.

Friday, October 3, 2008

MENEGAK BENANG BASAH !

HINDRAF KETERLALUAN

Penyokong hindraf keterlaluan
Di majlis 1 syawal hari lebaran
Rumah terbuka PM kecemaran
Salah tempat menguji kesabaran

Kita mungkin berbeda pendapat
Demi agama kita boleh merapat
Asakan hindraf tak pilih tempat
Perkauman mereka wajar sekat

Jikalau lima hindraf dibebaskan
Sebelum tempoh telah tetapkan
Jelas benar PM dalam ketakutan
Tindakan kurang ajar diakurkan

ISA wujud di dalam akta negara
Hanya yang terpilih sahaja kena
Asingkan mereka elak virus bala
Virus demikian ibarat bom jangka

Dahulu ada samy vellu menzahiri
Mohon lima hindraf dilepas pergi
Agar kerajaan tidak mereka benci
Perkauman begini jangan dilayani

Di saat pak lah tinggalkan pejabat
Bukan dirosakan peraturan terikat
Bahawa ISA masih perlu perkuat
Tunduk pada hindraf sah diperalat

Telus jarum teluslah juga kelindan
Pesanan orang tua berupa amaran
Keterlauan dicemari hari lebaran
Pertahankan ISA tanpa keraguan

serling
[03.10.08]
jumaat

p/s:
UM:03.10.08;jumaat:
” Hindraf keterlaluan”

Oleh NOR ZAINAH NORDIN
KUALA LUMPUR 2 Okt. – Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mengutuk keras dan menyifatkan perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet Islam sebagai keterlaluan, biadap dan menghina kesucian 1 Syawal.

Sambil membayangkan tindakan pertubuhan haram itu didalangi individu tertentu dengan tujuan menghancurkan perpaduan negara, mereka meminta kerajaan bertegas dan tidak melayan tekanan daripada kumpulan yang mengambil kesempatan atas kemurahan hati kerajaan.

Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, perbuatan kumpulan berkenaan adalah menghina perayaan besar umat Islam, tidak bertamadun dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mempersoalkan tujuan mereka menimbulkan kekecohan dalam suasana Perdana Menteri dan rakyat jelata meraikan 1 Syawal, seolah-olah cuba memberi gambaran negatif bahawa mereka langsung tidak mendapat peluang bertemu Perdana Menteri pada hari lain.

Katanya, insiden itu dikhuatiri didalangi pihak-pihak tertentu dengan mempergunakan suasana perayaan dan kehadiran wakil kedutaan asing untuk mengganggu serta memberi imej buruk kepada negara luar.

Beliau berkata, kejadian itu bukan menunjukkan perjuangan tulen tetapi mengambil kesempatan merosakkan imej negara selain memberi gambaran seolah-olah Malaysia tidak mengamalkan budaya tolak-ansur.

“GPMS meminta kerajaan supaya jangan melayan mereka kerana Hindraf bukan pertubuhan sah. Mereka patut dikenakan tindakan, tidak kisah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) atau undang-undang lain.

“Biar ia menjadi pengajaran. Tidak pernah berlaku insiden sebegini dalam sejarah 50 tahun kita merdeka. Ini perbuatan berani tidak bertempat dan dipengaruhi demonstrasi jalanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas perbuatan sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota Kabinet beragama Islam di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi. Walaupun timbul kekecohan, mereka dibenarkan memasuki dewan atas semangat hari raya.

Menurut saksi, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad hari raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.

Sementara itu, The Star Online memetik kenyataan K. Shanti, isteri kepada Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy bahawa isi kandungan kad raya yang diserahkan meminta Perdana Menteri membebaskan beberapa pemimpin Hindraf yang ditahan di bawah ISA.
“Mesej kami ialah kami mahukan hero-hero kami dibebaskan. Ini adalah rumah terbuka dan kami boleh datang, jika kami mahu. Semasa hari raya ini, kita sepatutnya bermaaf-maafan.

“Jadi, kami memaafkan dosa-dosa UMNO terhadap komuniti India. Kami hanya mahu tahanan Hindraf dibebaskan,” kata Shanti.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, kumpulan itu mengambil peluang suasana rumah terbuka untuk menonjolkan isu yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan cara lain.

Katanya, perbuatan itu tidak kena pada masanya iaitu ketika sambutan Aidilfitri bagi meraikan kemenangan umat Islam menjalani ibadat puasa dan merapatkan hubungan sesama rakyat.

“Mereka tidak menghormati orang Islam yang merayakan Aidilfitri,” ujarnya.
Pengerusi Persatuan Pergerakan Perpaduan Islam Malaysia, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, perbuatan penyokong Hindraf itu sepatutnya membuka mata rakyat tentang siapa sebenarnya kumpulan yang disokong oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

“Kita selalu memikirkan orang lain dan tidak mengambil kira perasaan sendiri. Mereka sudah melampau dan tidak prihatin kepada suasana 1 Syawal yang menjadi perayaan besar umat Islam,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Pribumi Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Hindraf adalah pertubuhan haram yang semakin mencabar undang-undang serta nampak bersedia menimbulkan kekecohan tanpa mengira tempat dan keadaan.